Saturday 15 December 2012

Musim Tengkujuh...

                                      



Musim tengkujuh selalu mengujakan aku. Dengan taburan hujan 4 hingga 5 hari seminggu, sudah lebih dari cukup untuk membuatkan aku menjadi girang. Aku girang disebabkan pada musim begini, suasana akan menjadi redup dan sejuk. Suasana inilah yang aku dambakan. Pada masa ini, aku selalunya berada dalam rumah melihat hujan turun sambil mengenangkan masa silam dan sesekali terlelap dalam selimut. Benarlah bebelan mamaku, musim tengkujuh ini sesuai dengan orang yang bersifat malas seperti aku. Walaubagaimanapun, tidak semua penduduk di pantai timur ini sependapat dengan aku. Musim tengkujuh ini bukanlah musim keseronokan mereka. Bahkan mereka jauh dari gembira melalui musim yang juga dipanggil musim bah ini. Musim bah ataupun tengkujuh biasanya berlaku pada 2 bulan penghujung tahun iaitu November dan Disember, dan kadang-kadang melarat sehingga awal bulan Januari. Seperti tahun-tahun sebelumnya, monsun timur laut ini membawa hujan yang banyak dan persekitaran yang basah. Keadaan ini membawa kepada bencana seperti banjir dan penyakit berjangkit. Ramai penduduk yang berada di tanah yang rendah terpaksa berpindah ke pusat penempatan mangsa banjir sementara menunggu air surut. Suasana ini tentunya menyusahkan ramai orang. Dan keadaan menyedihkan lagi dengan berlaku korban akibat banjir yang sentiasa ada dari setahun ke setahun.

Musim tengkujuh adalah musim yang sukar bagi penduduk berpendapatan rendah. Mereka ini terdiri daripada nelayan, pekebun kecil, dan buruh binaan.   Laut bergelora kuat memustahilkan nelayan untuk menangkap ikan. Pada musim ini, mereka lebih senang membaiki pukat yang koyak dan perahu yang bocor. Tidak banyak yang boleh mereka lakukan pada musim ini, ikan pun tidak boleh di jemur dek persekitaran yang redup dan ujan yang turun. Bagi pekebun kecil pula, musim ini adalah musim yang sukar. Pokok getah tidak boleh ditoreh untuk mendapatkan susunya. Peluang untuk mengutip jagung dan menggali ubi pun menjadi jarang kerana hujan yang terlalu lebat menyukarkan kerja-kerja pertanian. Seperti juga nelayan dan pekebun kecil yang miskin, pekerja binaan juga mempunyai masalah yang sama. Tidak banyak projek binaan berani diseliakan oleh kontraktor pada masa ini. Di samping faktor kesukaran melakukan kerja binaan pada waktu begini, faktor keselamatan pekerja juga perlu diambil perhatian yang serius. Keadaan yang basah dan licin bakal mengundang bahaya kepada pekerja.              
         
Guruh jarang kedengaran pada musim bah. Tidak seperti hari-hari hujan biasa, guruh dan kilat tentu sekali membawa alamat dahulu, sebelum hujan turun. Persekitaran  sejuk lembap, nyanyian sumbang katak dan keritan cengkerik membawa aku kepada ingatan aku pada masa silam ketika aku masih dibangku sekolah. Hari pertama persekolahan aku adalah hari yang hujan, sungguh bangga aku pada waktu itu. Apa tidaknya, pengalaman pertama menyarungkan uniform sekolah ke tubuh aku oleh mamaku mengalahkan pengalaman menyarungkan pakaian konvokesyen universitiku. Apa bagusnya majlis konvo itu, disamping majlis protocol yang meletihkan. Aku berasa kasihan juga kepada canselor, naib canselor dan dekan yang tua itu menahan diri mereka daripada tertidur demi menjaga imej baik golongan atasan dalam pengajian tinggi.
          
Bapaku menghantar aku dengan motosikal kesekolah. Dengan tangan kiri memegang payung, dan tangan kanan mengemudi ‘handle’ motorsikal , bapaku membonceng aku kesekolah yang jaraknya dalam 2km dari rumah. Dari rumah lagi, mamaku berpesan supaya hati-hati kesekolah nanti, kerana kemeja putih ini senang sekali dinodai kekotoran. Setelah sampai ke sekolah, dan mengetahui lokasi kelas aku. Aku berjumpa dengan kawan-kawanku. Aku menjadi kegirangan apabila mengetahui kawan-kawan tadika yang rapat denganku juga ditempatkan dalam kelas yang sama dengan aku. Ketika berlari kecil dengan rakan-rakanku, aku menjadi kurang berwaspada dan terpijak lubang Lumpur dan habis kasut putihku bertukar warna coklat. Seperti yang aku jangka, teruk aku dimarahi mamaku setelah tamat persekolahan hari itu. Kenangan persekolahan seperti itu terlalu manis untuk aku melupakan.
          

Hujan masih turun. Bahkan makin lebat lagi. Seperti tahun-tahun sebelumnya, musim hujan ini membawa sama selera makan aku. Pada musim hujan, biasanya bapaku akan merebus ubi untuk dimakan dengan air kopi pekat. Ada ubi ‘setele’, kayu, keledek, dan ubi besar. Tiada juadah yang lebih istimewa daripada ubi rebus panas-panas dan air kopi pekat pada musim ini. Adik perempuanku memanggil aku ke ruang tamu. Terdapat sepinggang ubi goreng dan seteko teh diatas meja. Bapa dan mamaku sudah menunggu di kerusi ruang tamu untuk menikmati minum petang bersama-sama. Walaupun ubi ‘setele’ ini tidak direbus, dan air yang dihidangkan bukan kopi, ia sudah cukup membuat aku kecur air liur ditambah lagi ubi goreng ini dicicah dengan sos keropok lekor.  Urmmm... sangat nostalgik..

No comments:

Post a Comment