Musim tengkujuh
selalu mengujakan aku. Dengan taburan hujan 4 hingga 5 hari seminggu, sudah
lebih dari cukup untuk membuatkan aku menjadi girang. Aku girang disebabkan
pada musim begini, suasana akan menjadi redup dan sejuk. Suasana inilah yang
aku dambakan. Pada masa ini, aku selalunya berada dalam rumah melihat hujan
turun sambil mengenangkan masa silam dan sesekali terlelap dalam selimut. Benarlah
bebelan mamaku, musim tengkujuh ini sesuai dengan orang yang bersifat malas
seperti aku. Walaubagaimanapun, tidak semua penduduk di pantai timur ini
sependapat dengan aku. Musim tengkujuh ini bukanlah musim keseronokan mereka.
Bahkan mereka jauh dari gembira melalui musim yang juga dipanggil musim bah
ini. Musim bah ataupun tengkujuh
biasanya berlaku pada 2 bulan penghujung tahun iaitu November dan Disember, dan
kadang-kadang melarat sehingga awal bulan Januari. Seperti tahun-tahun
sebelumnya, monsun timur laut ini membawa hujan yang banyak dan persekitaran
yang basah. Keadaan ini membawa kepada bencana seperti banjir dan penyakit
berjangkit. Ramai penduduk yang berada di tanah yang rendah terpaksa berpindah
ke pusat penempatan mangsa banjir sementara menunggu air surut. Suasana ini
tentunya menyusahkan ramai orang. Dan keadaan menyedihkan lagi dengan berlaku
korban akibat banjir yang sentiasa ada dari setahun ke setahun.
Musim tengkujuh
adalah musim yang sukar bagi penduduk berpendapatan rendah. Mereka ini terdiri
daripada nelayan, pekebun kecil, dan buruh binaan. Laut bergelora kuat memustahilkan nelayan untuk menangkap ikan. Pada
musim ini, mereka lebih senang membaiki pukat yang koyak dan perahu yang bocor.
Tidak banyak yang boleh mereka lakukan pada musim ini, ikan pun tidak boleh di
jemur dek persekitaran yang redup dan ujan yang turun. Bagi pekebun kecil pula,
musim ini adalah musim yang sukar. Pokok getah tidak boleh ditoreh untuk
mendapatkan susunya. Peluang untuk mengutip jagung dan menggali ubi pun menjadi
jarang kerana hujan yang terlalu lebat menyukarkan kerja-kerja pertanian.
Seperti juga nelayan dan pekebun kecil yang miskin, pekerja binaan juga
mempunyai masalah yang sama. Tidak banyak projek binaan berani diseliakan oleh
kontraktor pada masa ini. Di samping faktor kesukaran melakukan kerja binaan
pada waktu begini, faktor keselamatan pekerja juga perlu diambil perhatian yang
serius. Keadaan yang basah dan licin bakal mengundang bahaya kepada pekerja.
Guruh jarang kedengaran pada musim
bah. Tidak seperti hari-hari hujan biasa, guruh dan kilat tentu sekali membawa
alamat dahulu, sebelum hujan turun. Persekitaran sejuk lembap, nyanyian sumbang katak dan
keritan cengkerik membawa aku kepada ingatan aku pada masa silam ketika aku
masih dibangku sekolah. Hari pertama persekolahan aku adalah hari yang hujan, sungguh
bangga aku pada waktu itu. Apa tidaknya, pengalaman pertama menyarungkan
uniform sekolah ke tubuh aku oleh mamaku mengalahkan pengalaman menyarungkan
pakaian konvokesyen universitiku. Apa bagusnya majlis konvo itu, disamping
majlis protocol yang meletihkan. Aku berasa kasihan juga kepada canselor, naib
canselor dan dekan yang tua itu menahan diri mereka daripada tertidur demi
menjaga imej baik golongan atasan dalam pengajian tinggi.
Bapaku menghantar aku dengan motosikal
kesekolah. Dengan tangan kiri memegang payung, dan tangan kanan mengemudi
‘handle’ motorsikal , bapaku membonceng aku kesekolah yang jaraknya dalam 2km
dari rumah. Dari rumah lagi, mamaku berpesan supaya hati-hati kesekolah nanti,
kerana kemeja putih ini senang sekali dinodai kekotoran. Setelah sampai ke
sekolah, dan mengetahui lokasi kelas aku. Aku berjumpa dengan kawan-kawanku. Aku
menjadi kegirangan apabila mengetahui kawan-kawan tadika yang rapat denganku juga
ditempatkan dalam kelas yang sama dengan aku. Ketika berlari kecil dengan
rakan-rakanku, aku menjadi kurang berwaspada dan terpijak lubang Lumpur dan
habis kasut putihku bertukar warna coklat. Seperti yang aku jangka, teruk aku
dimarahi mamaku setelah tamat persekolahan hari itu. Kenangan persekolahan
seperti itu terlalu manis untuk aku melupakan.
Hujan masih turun. Bahkan makin lebat
lagi. Seperti tahun-tahun sebelumnya, musim hujan ini membawa sama selera makan
aku. Pada musim hujan, biasanya bapaku akan merebus ubi untuk dimakan dengan
air kopi pekat. Ada
ubi ‘setele’, kayu, keledek, dan ubi besar. Tiada juadah yang lebih istimewa
daripada ubi rebus panas-panas dan air kopi pekat pada musim ini. Adik
perempuanku memanggil aku ke ruang tamu. Terdapat sepinggang ubi goreng dan
seteko teh diatas meja. Bapa dan mamaku sudah menunggu di kerusi ruang tamu
untuk menikmati minum petang bersama-sama. Walaupun ubi ‘setele’ ini tidak
direbus, dan air yang dihidangkan bukan kopi, ia sudah cukup membuat aku kecur
air liur ditambah lagi ubi goreng ini dicicah dengan sos keropok lekor. Urmmm... sangat nostalgik..